Sunday, December 30, 2012

Al-Fatihah

Assalamualaikum w.b.t.

Terkejut dengan berita pemergian bonda rakan sepejabat. Bukan tidak pernah terima berita sebegini di pejabat, namun kelainan yang aku rasai. Kenapa? Mungkin sebab usia kami tak banyak beza jadi aku meletakkan diri aku pada keadaan dia.

Memang kematian satu rahsia Allah. Yang tak mungkin dapat kita congak. Hari ini sihat, esok mungkin tiada. Mungkin hari-hari terakhir kita juga sama, tiada tanda.

Ya Allah, tempatkanlah arwah di kalangan orang-orang yang beramal soleh.

DaripadaNya kita datang, kepadaNya kita kembali.

Monday, December 17, 2012

Random Thought

Assalamualaikum w.b.t.

Aku bukan penulis tegar tapi sentiasa ingin menulis. Tapi kekadang memikirkan kesan penulisanku, aku tangguhkan dulu.

Macam-macam perkara berlaku sehari-hati. Kadang-kadang aku menipu diri sendiri dengan mengatakan yang aku langsung tak ambil peduli, tetapi sebenarnya, jauh di sudut hati aku, pelbagai persoalan berlegar dalam kotak fikiran aku.

Aku bersalah kerana tidak mengajak kawan-kawan aku memperbaiki diri. Kerana aku malu dengan diri aku sendiri. Masih jahil.

Perkara yang suka aku lakukan ketika memandu ialah memandang ke langit dan merasai kerdilnya diri. Terkadang rasa ingin berhenti saja di tengah jalan dan menikmati pemandangan itu. Cantiknya langit dan agungnya kuasa Sang Pencipta. Dan pastinya, mata bergenang namun menafikan haknya untuk mengalir. Terkadang terlepas juga.

Tak tahu kenapa sukarnya kita bermuhasabah. Sukarnya menerima teguran. Egonya kita. Yang kita tahu, kita dah buat yang terbaik. Ya, terbaik. Entahlah.

Berubah dari sekecil perkara. Biarlah manusia lain tidak sedari. Konsisten dalam melakukannya. Aku cuba.

Melihat dunia sekarang, aku jadi takut. Aku takut dengan diri sendiri.

Aku pohon kasih-sayangMu dan aku pohon Kau buka pintu kasih sayang dalam hati ini.